Megat Mohd Noor Bin Megat Teh
tehpiah@yahoo.com
Penciptaan Lagu : Memperkembangkan Daya Kreativiti Awal Remaja
Abstrak
Mencipta lagu dan lirik adalah satu tugasan yang berat dan memerlukan kepada ketekunan. Seperti karya kreatif lain, pencipta lagu adalah pencerita situasi samada sedih atau gembira, tenang atau gelora. Pelajar awal remaja seharusnya dilatih mencipta lagu sedari awal agar mampu mengaplikasi kemahiran berbahasa dan muzikal. Jika kemahiran ini dibudayakan, tidak mustahil satu hari nanti Malaysia akan menjadi pusat penciptaan lagu yang hebat, sehebat Nashville di Tennessee, Amerika Syarikat. Bagi mendokong penciptaan, pencipta lagu novis disyorkan melalui beberapa proses seperti pengasahan bakat, latihan pendengaran, kepelbagaian stail, kefahaman terhadap peraturan-peraturan umum penciptaan lagu, promosi di khalayak, kepelbagaian elemen muzik, penghasilan demo dan juga sedikit sebanyak maklumat mengenai komponen dan struktur lagu, topik dan tajuk lirik.
Abstract
Songwriting is a heavy task, requiring a songwriter to be industrious and passionate. Like other creative works, a songwriter is a story teller narrating sad and joyful events. Early teenagers are encouraged to be involved in songwriting as early as possible to give them enough time to apply musical and language skills. If songwriting was cultured and programmed from early teenager, there is a possibility that Malaysia will be as great as Nashville, Tennessee, United States of America. In support of songwriting, novice songwriters are advised to undergo several processes such as talent polishing, hearing practices, style variation, understanding of songwriting basic rules, songs promotion, musical elements variation, demo production and several aspects regarding song structure and component, song lyrics and topic.
Pendahuluan
Selama lebih lapan tahun, Patterson (2005, http://www.socan.ca/jsp/en/news-events/feature-stories/PattersonLisa.jsp), pemuzik dan penyanyi berasal daripada Toronto bekerja dengan pencipta-pencipta lagu muda seawal usia 5 tahun, membantu mereka membina dan memperbaiki keyakinan dan memberi galakan kepada mereka untuk berekspresi melalui penciptaan lagu menerusi lirik di Studio Muzik Imaginit di Riverdale. Beliau percaya dengan mencipta lagu, para remaja mampu menjalani hidup yang sihat. Mereka juga berpeluang melakukan demo di bawah pengawasannya.
Mereka bermula dengan kursus permainan alat muzik seperti yang dikehendaki oleh ibubapa. Kemudian Patterson memandu mereka ke arah ekspresi diri melalui penciptaan lagu dan lirik. Menurutnya lagu adalah ibarat penulisan kreatif kerana setiap aspek penting penulisan menjurus kepada pengalaman-pengalaman baru dan lama yang disunting ke dalam karya rekaan agar segar, merdu dan bermakna serta mampu menyentuh hati nurani manusia.
Latar belakang sebagai pencipta lagu
Seseorang pencipta lagu menulis lirik kepada lagu, komposisi muzik atau melodi kepada lagu atau kedua-duanya. Maksud “pencipta lagu” menggambarkan seseorang yang menulis lagu-lagu pop, berbeza dengan seorang penulis muzik klasik yang lebih dikenali sebagai “composer.”
Pencipta-pencipta lagu mungkin mempersembahkan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri atau menulis untuk penyanyi lain. Mereka yang menulis dan menyanyi lagu sendiri dipanggil penyanyi-pencipta lagu.
Kebanyakan lagu-lagu berbentuk seni adalah ditulis untuk seseorang selain daripada komposer untuk persembahan. Diketahui bahawa Schubert kerapkali menyanyi lagu-lagunya di majlis-majlis keramaian persendirian. Pencipta-pencipta lagu pop sekarang berjaya merakamkan lagu-lagu mereka yang dinyanyikan oleh pelbagai artis dengan gaya yang pelbagai.
Keperluan terhadap penciptaan lagu oleh pelajar awal remaja
Diketahui bahawa penciptaan lagu adalah sesuatu yang memerlukan daya konsentrasi dan kreativiti yang tinggi. Hanya mereka yang berupaya mengatasi pelbagai kegagalan sahaja mampu menangani tekanan disebabkan kekangan penceritaan semasa mencipta lagu maupun lirik. Seperti yang di katakan oleh Patterson, kemahiran mencipta lagu dan lirik merupakan suatu ruang di mana pelajar menggabung jalin kemahiran muzikal, aestetik dan bahasa. Para pelajar awal remaja berupaya melakukan eksperimen dengan pengetahuan yang dipelajari sekaligus mematangkan kemahiran berfikir.
Bagaimana Mengasah Kemahiran Mencipta Lagu
1. Asah kemahiran penciptaan setiap hari
Seperti seorang athlet yang sentiasa berlatih untuk mencapai puncak prestasi, seorang pencipta lagu atau komposer juga perlu selalu berlatih. Bakat sahaja tidak memadai jika minda tidak dibiasakan dengan bakat tersebut. Peruntukkan sekurang-kurangnya 30 minit menulis lagu setiap hari dan gunakan waktu tersebut untuk bereksperimen dengan pelbagai ‘kord’, menulis tema atau menyusun sesuatu. Latihan berterusan amat diperlukan untuk sesuatu yang kreatif.
2. Dengar muzik setiap hari
Kaedah pembelajaran violin Suzuki yang terkenal seluruh dunia memerlukan setiap pelajar mendengar pita rakaman muzik yang dipelajari setiap hari untuk membina keupayaan muzik. Semakin kerap didengar semakin mudah seseorang mengadaptasi muzik tersebut secara di bawah sedar. Secara sedar pula seseorang mengetahui teknik-teknik dalam penulisan muzik yang tidak diketahui sebelumnya. Muzik mempunyai asas dan setiap asas adalah sebagai tenaga penggerak ke arah sesuatu yang lebih sistematik.
3. Jangan hadkan kepada satu stail
Kepelbagaian muzik harus diutamakan. Walaupun seseorang mempunyai asas muzik klasik, mendengar genre-genre yang lain memperkayakan khazanah muzik peribadi. Walaupun seseorang mengkagumi Bach dan Dvorak, tidak menjadi kesalahan untuk mengkagumi genre Rock dan Metal seperti Scorpions dan Pink Floyd. Kombinasi antara pelbagai citarasa muzik melahirkan idea baru yang lebih segar (sebagai contoh Rock Psychedelic yang dimainkan oleh Pink Floyd). Para pelajar seharusnya lebih meneroka dan bereksperimen dengan gaya atau genre yang baru agar penciptaan lebih segar dan berwibawa.
4. Belajar memahami peraturan-peraturan tertentu dalam penciptaan.
Jangan fikir bahawa tema lagu yang baik bermakna bahawa anda sudah berada di landasan yang betul. Benar bahawa penciptaan lagu tidak menetapkan sebarang peraturan tertentu, tetapi remaja perlu mencuba mencari cara untuk memperbaiki dengan mempelajari seberapa banyak bahan yang mampu membantu menjadikan seseorang pencipta lagu yang mantap dan berkemahiran tinggi. Jangan sekali-kali lupa bahawa melodi “catchy” dan pengiramaan bijak lirik-lirik perlu kepada latihan yang berterusan.
5. Jangan malu
Para remaja perlu bijak mempromosi kemahiran mencipta lagu kepada masyarakat dan dunia. Bermula dengan rakan taulan terdekat, hebahkan kemahiran mencipta lagu kepada mereka yang lain agar diketahui ramai. Kemudian dapatkan kritikan secara professional agar lagu-lagu ciptaan dapat dilaras dan diacu agar menjadi ciptaan yang bermutu dan digemari ramai. Sentiasa ingat bahawa lagu ciptaan adalah untuk pendengaran ramai, maka suara khalayak adalah penting untuk maklum balas.
6. Belajar bermain alat muzik penciptaan lagu
Kebanyakan pencipta lagu mahir bermain alat muzik yang digunakan dengan berkesan dalam penciptaan lagu. Sesetengah alat muzik tidak banyak membantu dalam penciptaan lagu. Kibod adalah alat yang paling digemari dan sangat berkesan dalam penciptaan lagu manakala gitar berada di tempat kedua. Ini adalah kerana kedua-dua alat tersebut mempunyai kepelbagaian kord yang amat membantu membina kerangka lagu ciptaan yang juga dinamakan turutan kord-kord (chords progression). Tidak perlu untuk menjadi seorang Joe Satriani di gitar atau Yanni di piano. Yang diperlukan hanyalah kefahaman tentang turutan kord-kord dalam sesuatu kerangka ciptaan. Gunakan hearandplay 300pg.course for keyboard(piano) dan Amazing 7 day Guitar video for guitar. Kedua-dua program akan memungkinkan anda bermain kedua-dua instrumen muzik dalam masa yang singkat
7. Lihat kembali ciptaan lepas.
Adalah amat berguna jika ciptaan lepas didengar kembali agar dapat dirumuskan sejauh mana keberkesanannya Ini adalah untuk menentukan agar lagu-lagu yang dihasilkan berada di landasan yang betul.
8. Perkenalkan kepelbagaian dalam penciptaan
Pencipta novis perlu menulis dalam skel, masa, genre dan stail yang berlainan. Perlu juga mereka menulis untuk intrumen-instrumen yang berlainan. Sebagai contoh, setelah menulis lagu untuk sebuah kumpulan rock, tulis ia semula untuk kuartet bertali. Pernah seorang pencipta lagu menulis sebuah instrumental untuk sebuah kumpulan rock dan selepas itu menyusun semula muzik tersebut untuk 4 biola. Pengalaman tersebut memberikan seseorang bunyi dan pengalaman teori muzik yang baru yang berkemungkinan menjadikan lagu ciptaan lebih merdu dan mantap.
9. Hasilkan demo
Jika ada kesungguhan untuk menjadikan ciptaan sebagai sesuatu untuk dipasarkan, para pelajar digalakkan melakukan promosi jualan. Sebagai permulaan sebuah mikrofon yang baik dan software komputer yang berkesan adalah mencukupi untuk tujuan tersebut. Berkemungkinan ia menepati selera penerbit album yang amat menyukai lagu-lagu tersebut.
10. Mencari Kolaborasi
Kolaborasi penciptaan lagu adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pengiat penciptaan lagu kerana tiada sesiapapun boleh bekerja berseorangan dan sentiasa berjaya. Bekerjasama dengan kumpulan penulis lagu di internet atau di sekitar komuniti tempatan. Koloborasi penciptaan adalah hebat kerana dua individu daripada komuniti berlainan bekerjasama dengan idea yang berbeza pastinya membuahkan hasil yang lebih universal dan mampu diterima oleh sebahagian besar peminat. Kerjasama kumpulan merupakan kunci kepada kejayaan dan telah dibuktikan oleh kumpulan-kumpulan penyelidik, kumpulan-kumpulan muzik dan parti-parti politik.
Beberapa Perkara Mengenai Komponen Lagu dan Struktur
Komponen-komponen Lagu
Lagu adalah terdiri daripada perkataan-perkataan dan muzik dan untuk sesebuah lagu berjaya ianya mestilah mempunyai lirik dan muzik yang hebat. Sesebuah lagu yang menarik adalah gabungan perkataan-perkataan yang menarik dan mudah yang menerangkan sesuatu topik. Lirik tidak tertakluk kepada sebarang peraturan kerana ia berdasarkan kepada amalan penulisan yang berterusan. Mungkin lirik-lirik tertentu mempunyai rima (rhyme) yang menarik tetapi tidak semuanya begitu.
Sesebuah lagu yang menarik tidak semestinya canggih. Lagu yang hebat adalah mudah, mempunyai melodi yang catchy dan susunan kod yang teratur. Melodi catchy dan perkataan-perkataan yang menarik mesti disatukan supaya kedua-duanya menjadi struktur lagu yang konkrit.
Struktur lagu
Sesebuah lagu selalunya mempunyai 3 melodi pendek, yang mana 2 diulangi berkali-kali. Korus adalah kombinasi lirik dan muzik yang diulangi tanpa atau dengan perubahan kecil sepanjang lagu. Selalunya lirik korus mengandungi tajuk lagu dan memberikan pendengar idea umum tentang topik lagu. Muzik korus mengandungi melodi yang paling catchy di dalam lagu tersebut. Secara umum korus adalah bahagian yang paling diingati oleh pendengar.
Rangkap pula adalah melodi kedua sesebuah lagu dan ianya sukar berubah sepanjang lagu. Apa yang berubah hanyalah rangkap-rangkap lirik kerana mengandungi penerangan mengenai topik lagu. Melodi lagu berupaya memuatkan rangkap-rangkap lirik lagu.
Melodi yang ketiga dinamakan bridge yang hanya muncul sekali sahaja di kebanyakan lagu. Ianya adalah untuk memberikan elemen kejutan kepada pendengar. Selalunya pencipta lagu akan mengubah struktur kod dan diikuti oleh pertukaran kepada skel yang lain. Bagaimanapun melodi bridge akan bertukar kembali kepada melodi rangkap dan kembali kepada mood yang sebenar yang diikuti pula dengan pengulangan korus semula. Lirik di bridge adalah mewakili penutup atau imbas kembali keseluruhan lagu untuk memberikan kejutan kepada pendengar. Kadang-kadang di kebanyakan lagu rock bridge adalah hanya permainan solo tanpa lirik.
Bagaimanakah ketiga-tiga bahagian ini di susun di dalam lagu? Kebiasaanya lagu mempunyai korus, rangkap dan bridge. Pencipta lagu boleh menyusun ketiga-tiganya mengikut selera tetapi jangan sampai menyemakkan pendengar kerana ketidak sesuaian susunan bakal membuatkan pendengar tersesat dalam mengerti makna sebenar sesebuah lagi. Berikut adalah contoh beberapa susunan lagu:
rangkap/ korus/ rangkap/ korus/ rangkap … dll
rangkap/ korus/ rangkap/ korus/ bridge/ (rangkap)/ korus
rangkap/ rangkap/ bridge/ rangkap
Untuk struktur rangkap/ rangkap/ bridge/ rangkap, sedikit pengubah suaian dilakukan agar rangkap yang kedua lebih catchy dan panjang daripada biasa. Indahkan ia setiap kali pengulangan berlaku dengan masukkan sesuatu yang baru seperti instrumen latar atau suara latar. Kelainan berlaku di sini kerana terkandung pengulangan dan pengubah suaian.
Topik lirik dan tajuk
Apakah lirik?
Paling mustahak, lirik bukanlah sajak. Sajak mengandungi peraturan-peraturan perkataan. Ianya adalah permainan bahasa tanpa apa-apa hubungan dengan muzik. Sebaliknya lirik mempunyai hubungan kuat dengan muzik dan adalah amat penting bagi sesebuah lirik dan muzik agar padan dan kemas daripada hanya mempamerkan perlambangan menakjubkan berserta kombinasi-kombinasi perkatan yang glamour. Amatlah penting bagi sesebuah lagu mempunyai lirik yang bercerita berkenaan topik yang menarik.
Topik lirik
Jikalau anda mempunyai sesuatu topik yang menarik, anda telah melakukan separuh daripada kerja melirik. Sekarang anda mempunyai sesuatu untuk untuk digambarkan. Ramai yang mula merasai sesuatu masih mempunyai kesukaran untuk menggambarkannya di dalam sesebuah karya.
Mulakan dengan teknik sumbangsaran. Lihat di sekeliling anda. Apakah yang anda lihat? Kemungkinan anda melihat sebuah komputer, skrin, meja dan pelbagai alat. Pilih salah satu daripada yang tersebut, mungkin anda akan memilih sebuah komputer. Apakah itu komputer? Kecilkan fokus topik anda. Sesebuah komputer terdiri daripada beberapa alat pemprosesan, papan kekunci, internet dan program-program komputer. Sekarang pilih internet dan cuba fokuskan skop tersebut. Anda akan mendapati laman-laman web, bilik-bilik sembang dan lain-lain. Lakukan lagi pemfokusan topik dan berkemungkinan anda akan sampai kepada topik berfokus kepada “Dua manusia yang bersendirian di bilik sembang”, iaitu sebuah fokus yang menggambarkan kesedihan. Masukkan diri anda ke dalam suasana kesedihan dan mulai menulis gambaran kesedihan tersebut dalam bentuk penceritaan mudah tetapi berkesan. Lebih mantap jika anda menulis kesedihan yang dialami sendiri kerana ianya memberikan impak berkesan kepada pendengar.
Tajuk lirik
Mulai berkarya dengan mencari satu tajuk lirik yang berkesan. Tajuk tersebut mestilah sesuatu yang mampu memberikan kejutan kepada pendengar tetapi sangat dekat dengan mereka. Contoh yang terdekat adalah “Raikan Cinta” oleh M. Nasir (2004) yang mana pencipta mampu mendatangkan sesuatu yang segar dan matang di dalam lagu bertemakan cinta, tidak sebagaimana yang diolah oleh pencipta-pencipta lagu lain yang hanya berjaya menggambarkan cinta kelas kedua bersifat murahan. Juga dinasihatkan anda tidak menggunakan perkataan-perkataan besar dan perlambangan-perlambangan yang sukar. Harus diingat bahawa lirik adalah sebahagian daripada lagu dan jika lirik sukar difahami maka pendengar memerlukan masa yang panjang untuk memahami muzik yang ingin disampaikan
Penutup
Nilai kemanusiaan semakin terpinggir di dalam masyarakat. Mereka hanya memandang ketinggian ilmu melalui keupayaan pelajar memperolehi sebanyak mungkin A. Kecemerlangan hanya didasarkan kepada pencapaian akademik yang berterusan. Sayugia diingatkan bahawa teori kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner memperincikan intelek dalam pelbagai genre. Kecerdasan muzikal dan bahasa adalah antara yang diangkat menjadi sebahagian daripada elemen-elemen kecerdikan yang mampu menyinari dunia. P.Ramlee dan John Lennon adalah dua personaliti unggul yang tidak dilahirkan oleh institusi akademik. Mereka melalui pelbagai proses cuba jaya dan pengkajian kendiri sebelum berjaya menempatkan diri sebagai yang terbaik di dalam dunia seni. Saya membentangkan kaedah dan cadangan bagaimana pelajar awal remaja mampu menuju ke destinasi tersebut. Cadangan dan kaedah yang cuba saya kongsi di kertas seminar ini mungkin menjadi pemangkin kepada gagasan yang lebih besar yang mana kita sebagai pendidik guru berhasrat melahirkan sebanyak mungkin pencipta-pencipta lagu yang tidak hanya berjaya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa. Bukan sahaja mereka dikenali kerana lagu-lagu yang bermutu tetapi juga kerana kemantapan bahasa yang mampu merangsang pemikiran global.
Rujukan
Carl E. Seashore(1988). Psychology Of Music. New York. Dover Publication Inc.
Edward S. Lisk(1996). The Creative Director:Intangibles Of Musical Performance. U.S.A. Meredith Music Publications.
Harold F. Abeles, Charles R. Hoffer, Robert H. Klotman(1994).Foundation Of Music Education Second Edition.New York.Maxwell Macmillan Canada,Inc.
Johami Abdullah(1993). Pendidikan Muzik Semasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Richard W. Harpster(1982).Technique In Singing A program For Singers and Teachers.New York. Schirmer Books.
http://www.craftofsongwriting.com/Column1.htm
http://www.songwritingfever.com
http://www.socan.ca/jsp/en/news-events/feature-stories/PattersonLisa.jsp
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment