Friday, October 20, 2017

apa habag semua? lama tak dengag cerita aih...

Thursday, April 14, 2011

PANDANGAN DAN FALSAFAH MUZIK SECARA AM

‪MEGAT MOHD NOOR B MEGAT TEH‬
‪tehpiah@yahoo.com

‪PANDANGAN DAN FALSAFAH MUZIK SECARA AM‬

‪Muzik adalah penting dalam kehidupan seharian. Setiap orang semestinya diberikan peluang mempelajarinya. Bagaimanapun tidak semua orang mampu mengajarnya. Kelainan dalam muzik adalah tersangat besar, maka semestinya tidak ada had terhadap jumlah muzik yang boleh diajar. Pendidik muzik mempunyai pengetahuan tentang ini dan mereka bertanggungjawab berkongsinya dengan orang lain.‬

‪Muzik adalah sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dilahirkan. Muzik dan seni adalah cara universal bagi setiap orang berkongsi perasaan di antara mereka dahulu dan kini. Seni gagal berfungsi dengan berkesan jikalau hanya melalui perantara kata-kata. Untuk menyatukan masyarakat pelbagai keturunan dan latar belakang, muzik berfungsi sebagai elemen penting. Pada hemat saya, sukan gagal menyatukan masyarakat kerana ia kerapkali berakhir dengan sikap persaingan yang kurang sihat di kalangan pesaing. Muzik mengajar generasi muda agar bertanggungjawab dan berkerjasama di antara satu sama lain di dalam sesuatu ensemble. Tiada persaingan berlaku kerana pemuzik-pemuzik harus memainkan peranan masing-masing.‬

‪Sekolah memainkan peranan sebagai landasan kepada semangat berpasukan. Ramai orang melihat aktiviti-aktiviti kokurikulum sebagai penyokong kepada idea ini. Bagaimanapun, kelas-kelas muzik membantu pelajar menyedari bahawa mereka perlu mengambil berat dan berusaha keras supaya menjadi sebahagian daripada pemain pasukan. Kanak-kanak perlu diajar akan kepentingan bekerja dalam pasukan bukannya hanya beraksi sebagai seorang pemain dalam sesuatu entiti. Jika mereka didedahkan kepada perkara ini di awal kanak-kanak, setiap seorang akan merasa bahawa mereka bertanggung jawab terhadap satu sama lain. Mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan mempunyai harga diri yang tinggi. Masing-masing akan menyedari bahawa setiap seorang adalah penting dan mempunyai peranan tertentu di dalam pasukan.‬

‪Muzik juga membantu mengajar kanak-kanak erti tanggung jawab. Jika mereka bertanggung jawab terhadap bahagian-bahagian yang mereka mainkan di dalam ensembel, perkara yang sama juga akan dilakukan apabila mereka berada di luar. Kerjasama di dalam sesebuah ensembel melahirkan muzik yang indah dan menarik yang berupaya mengangkat martabat sesebuah karya. Para penonton yang terhibur akan menghadiahkan tepukan keramat dan sokongan begini merupakan azimat kepada pemuzik-pemuzi muda sesebuah ensembel kerana mereka sedar bahawa muzik mereka mendapat pengiktirafan.‬

‪Kesemua jenis muzik seharusnya diajar di sekolah. Para pelajar sepatutnya belajar kelainan muzik di antara zaman-zaman sejarah muzik dan setiap tempoh masa membawa watak berlainan kepada muzik yang kita dengar sekarang. Seorang pelajar harus mempunyai pengetahuan yang menyeluruh berkisar mengenai aspek-aspek penting muzik itu sendiri. Pelbagai jenis muzik membantu pelajar-pelajar mempelajari pelbagai konsep dan memperkenalkan mereka kepada sejarah sesuatu muzik tersebut ataupun latar belakang kebudayaan yang berbeza.‬

‪Kelas muzik di Malaysia sepatutnya tidak hanya mengajar muzik klasikal sahaja, tetapi pelbagai campuran irama yang belum didedahkan kepada mereka. Seseorang pelajar wajib diperkenalkan kepada muzik budaya lain untuk meluaskankan skop pandangan mereka. Tetapi itu tidak bererti bahawa pendidik muzik perlu mengajar budaya asal lagu-lagu yang di ajar. Pendidik muzik perlu cuba menerangkan sedikit sebanyak karya dan latarbelakangnya.Walaubagaimanapun penerangan tersebut tidaklah perlu jauh ke dalam perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan budaya muzik yang diajar. Budaya dan aspek-aspek lain berhubung dengan manusia di dalam karya tersebut tidak semestinya diajar kecuali perkara-perkara tersebut mempunyai kaitan. Satu kaedah yang berkesan untuk guru mengukuhkan idea-idea yang diajar adalah dengan menintegrasikan sujek-subjek lain seperti Pengajian Sosial dan Bahasa Inggeris. Ini adalah ara yang terbaik untuk guru muzik bermesra dengan para tenaga pengajar yang lain bukannya mengasingkan diri terpencil dalam dunia tersendiri.‬

‪Selain daripada mempelajari muzik budaya lain, setiap pelajar seharusnya diberikan peluang mengalami muzik secara terbuka. Di sekolah, para pelajar diwajibkan mempelajari matematik dan sains kerana kedua-dua subjek tersebut amat penting dalam kehidupan seharian. Jikalau perkara yang sama tidak dilakukan terhadap muzik, itu bermakna pelajar-pelajar ini telah dinafikan sesuatu perkara asas yang merupakan rutin kehidupan. Segelintir masyarakat mungkin beranggapan bahawa muzik adalah hanya pengetahuan am yang mudah didapati dalam kehidupan seharian dan pelajar-pelajar tidak perlu menerokanya di dalam situasi kelas. Namun, pelajar akan lebih memahami apa yang akan mereka alami di dalam kehidupan seharian jika disajikan dengan sedikit pengetahuan muzik.‬

‪Kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran juga berupaya memperoleh kelebihan jika mempelajari muzik walaupun seketika. Pelajar-pelajar yang memerlukan tumpuan istimewa berupaya memanfaatkan muzik dalam pelbagai cara. Menerusi muzik mereka dapat berinteraksi secara perasaan dengan orang lain. Pelajar-pelajar istimewa juga berupaya membantu orang lain memahami mereka melalui muzik yang dimainkan secara berpasukan. Mereka yang terlibat pula mestilah memperlihatkan sifat keterbukaan dan memahami bagaimana memanfaatkan muzik sebagai medium perhubungan. Sebagai tenaga pengajar muzik, kita mestilah terus memperluaskan pengetahuan tentang subjek tersebut dan sentiasa mencari kaedah yang lebih berkesan demi manfaat ramai.‬

‪Tidak semua orang berkemampuan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat terhadap muzik dan berupaya mengajarnya di tahap yang boleh diterima ramai. Oleh kerana itu pendidik muzik wajarlah komited terhadap tugas, berupaya melibatkan komuniti dalam pengajaran dan pembelajaran dan sentiasa bersikap aktif terhadap program yang dianjurkan kerana ia membantu membawa situasi-situasi positif yang berlainan ke dalam program. Sesebuah program muzik akan menemui kegagalan tanpa kerjasama para pelajar dan ibubapa. Oleh itu para pendidik muzik wajar bersiap sedia membina sahsiah diri agar dapat memperoleh kerjasama erat di kalangan ibubapa dan para pelajar supaya program yang dibina menemui kejayaan yang cemerlang. Pendekata, pendidik muzi yang cekap, cekal, komited serta mampu berkomunikasi dengan berkesan sahaja yang mampu melonjakkan agenda program muzik ke peringkat yang tertinggi.‬

‪Seorang pendidik muzik mestilah berfikiran terbuka dan memahami bahawa terdapat kepelbagaian genre dan peringkat muzik yang diminati oleh para pelajar dan juga sikap-sikap tertentu di kalangan mereka yang bakal memberi impak kepada pembelajaran. Oleh kerana itu semasa menilai para pelajar tersebut, pendidik muzik harus akur terhadap tahap penerimaan pembelajaran mereka kerana kepada sebahagian besar pelajar-pelajar berkenaan muzik hanyalah sebagai salah satu cara melepaskan ketegangan dan bersantai.‬

‪Penilaian adalah penting dalam pembelajaran. Daripada lima jenis penilaian, yang paling bernilai adalah penilaian tulen. Seseorang pendidik muzik menilai para pelajar atas keupayaan mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam kehidupan seharian. Ujian ayang dijalankan dari masa ke semasa bukan merupakan penanda aras terbaik terhadap kemampuan pelajar-pelajar mengaplikasi pengetahuan. Walaubagaimanapun, penilaian secara formal merupakan cara berkesan untuk menentukan samada sesuatu topik atau subjek perlu diulangkaji jika sebahagian besar pelajar menghadapi kesukaran menjawab soalan-soalan ujian tersebut.‬

‪Penilaian secara formal perlu kerana ia mampu memberikan gambaran yang nyata terhadap kemampuan para pelajar terhadap pembelajaran. Oleh kerana pihak pendidik muzik sewajarnya menonjolkan keupayaan para pelajar mereka menerusi konsert dan festival muzik agar bakat dan kemahiran mereka dapat dipertontonkan kepada umum, kaum keluarga, sahabat handai dan peminat-peminat setia mereka.‬

‪Muzik perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan individu. Tidak ada had terhadap apa yang sedang dipelajari ataupun bakal dipelajari oleh seseorang individu. Pendidikan muzi di sekolah berupaya membawa peluang ini kepada para pelajar. Hanya pendidik muzik yang komited sahaja yang berkemampuan merealisasikan impian luhur dan murni ini. Keberkesasan pengajaran dan pembelajaran muzik bergantung kepada sejauh mana peranan yang dimainkan oleh seseorang pendidik muzik. Kalau ini berjaya dilakukan, para pelajar dapat mengoptimumkan pembelajaran dan mereka akan merasai kelebihan dan kepentingan muzik di dalam kehidupan seharian dan masa depan pendidikan muzik akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.‬

Penciptaan Lagu : Memperkembangkan Daya Kreativiti Awal Remaja

Megat Mohd Noor Bin Megat Teh
tehpiah@yahoo.com
Penciptaan Lagu : Memperkembangkan Daya Kreativiti Awal Remaja
Abstrak
Mencipta lagu dan lirik adalah satu tugasan yang berat dan memerlukan kepada ketekunan. Seperti karya kreatif lain, pencipta lagu adalah pencerita situasi samada sedih atau gembira, tenang atau gelora. Pelajar awal remaja seharusnya dilatih mencipta lagu sedari awal agar mampu mengaplikasi kemahiran berbahasa dan muzikal. Jika kemahiran ini dibudayakan, tidak mustahil satu hari nanti Malaysia akan menjadi pusat penciptaan lagu yang hebat, sehebat Nashville di Tennessee, Amerika Syarikat. Bagi mendokong penciptaan, pencipta lagu novis disyorkan melalui beberapa proses seperti pengasahan bakat, latihan pendengaran, kepelbagaian stail, kefahaman terhadap peraturan-peraturan umum penciptaan lagu, promosi di khalayak, kepelbagaian elemen muzik, penghasilan demo dan juga sedikit sebanyak maklumat mengenai komponen dan struktur lagu, topik dan tajuk lirik.
Abstract
Songwriting is a heavy task, requiring a songwriter to be industrious and passionate. Like other creative works, a songwriter is a story teller narrating sad and joyful events. Early teenagers are encouraged to be involved in songwriting as early as possible to give them enough time to apply musical and language skills. If songwriting was cultured and programmed from early teenager, there is a possibility that Malaysia will be as great as Nashville, Tennessee, United States of America. In support of songwriting, novice songwriters are advised to undergo several processes such as talent polishing, hearing practices, style variation, understanding of songwriting basic rules, songs promotion, musical elements variation, demo production and several aspects regarding song structure and component, song lyrics and topic.


Pendahuluan
Selama lebih lapan tahun, Patterson (2005, http://www.socan.ca/jsp/en/news-events/feature-stories/PattersonLisa.jsp), pemuzik dan penyanyi berasal daripada Toronto bekerja dengan pencipta-pencipta lagu muda seawal usia 5 tahun, membantu mereka membina dan memperbaiki keyakinan dan memberi galakan kepada mereka untuk berekspresi melalui penciptaan lagu menerusi lirik di Studio Muzik Imaginit di Riverdale. Beliau percaya dengan mencipta lagu, para remaja mampu menjalani hidup yang sihat. Mereka juga berpeluang melakukan demo di bawah pengawasannya.
Mereka bermula dengan kursus permainan alat muzik seperti yang dikehendaki oleh ibubapa. Kemudian Patterson memandu mereka ke arah ekspresi diri melalui penciptaan lagu dan lirik. Menurutnya lagu adalah ibarat penulisan kreatif kerana setiap aspek penting penulisan menjurus kepada pengalaman-pengalaman baru dan lama yang disunting ke dalam karya rekaan agar segar, merdu dan bermakna serta mampu menyentuh hati nurani manusia.
Latar belakang sebagai pencipta lagu
Seseorang pencipta lagu menulis lirik kepada lagu, komposisi muzik atau melodi kepada lagu atau kedua-duanya. Maksud “pencipta lagu” menggambarkan seseorang yang menulis lagu-lagu pop, berbeza dengan seorang penulis muzik klasik yang lebih dikenali sebagai “composer.”
Pencipta-pencipta lagu mungkin mempersembahkan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri atau menulis untuk penyanyi lain. Mereka yang menulis dan menyanyi lagu sendiri dipanggil penyanyi-pencipta lagu.
Kebanyakan lagu-lagu berbentuk seni adalah ditulis untuk seseorang selain daripada komposer untuk persembahan. Diketahui bahawa Schubert kerapkali menyanyi lagu-lagunya di majlis-majlis keramaian persendirian. Pencipta-pencipta lagu pop sekarang berjaya merakamkan lagu-lagu mereka yang dinyanyikan oleh pelbagai artis dengan gaya yang pelbagai.

Keperluan terhadap penciptaan lagu oleh pelajar awal remaja
Diketahui bahawa penciptaan lagu adalah sesuatu yang memerlukan daya konsentrasi dan kreativiti yang tinggi. Hanya mereka yang berupaya mengatasi pelbagai kegagalan sahaja mampu menangani tekanan disebabkan kekangan penceritaan semasa mencipta lagu maupun lirik. Seperti yang di katakan oleh Patterson, kemahiran mencipta lagu dan lirik merupakan suatu ruang di mana pelajar menggabung jalin kemahiran muzikal, aestetik dan bahasa. Para pelajar awal remaja berupaya melakukan eksperimen dengan pengetahuan yang dipelajari sekaligus mematangkan kemahiran berfikir.
Bagaimana Mengasah Kemahiran Mencipta Lagu
1. Asah kemahiran penciptaan setiap hari
Seperti seorang athlet yang sentiasa berlatih untuk mencapai puncak prestasi, seorang pencipta lagu atau komposer juga perlu selalu berlatih. Bakat sahaja tidak memadai jika minda tidak dibiasakan dengan bakat tersebut. Peruntukkan sekurang-kurangnya 30 minit menulis lagu setiap hari dan gunakan waktu tersebut untuk bereksperimen dengan pelbagai ‘kord’, menulis tema atau menyusun sesuatu. Latihan berterusan amat diperlukan untuk sesuatu yang kreatif.
2. Dengar muzik setiap hari
Kaedah pembelajaran violin Suzuki yang terkenal seluruh dunia memerlukan setiap pelajar mendengar pita rakaman muzik yang dipelajari setiap hari untuk membina keupayaan muzik. Semakin kerap didengar semakin mudah seseorang mengadaptasi muzik tersebut secara di bawah sedar. Secara sedar pula seseorang mengetahui teknik-teknik dalam penulisan muzik yang tidak diketahui sebelumnya. Muzik mempunyai asas dan setiap asas adalah sebagai tenaga penggerak ke arah sesuatu yang lebih sistematik.

3. Jangan hadkan kepada satu stail
Kepelbagaian muzik harus diutamakan. Walaupun seseorang mempunyai asas muzik klasik, mendengar genre-genre yang lain memperkayakan khazanah muzik peribadi. Walaupun seseorang mengkagumi Bach dan Dvorak, tidak menjadi kesalahan untuk mengkagumi genre Rock dan Metal seperti Scorpions dan Pink Floyd. Kombinasi antara pelbagai citarasa muzik melahirkan idea baru yang lebih segar (sebagai contoh Rock Psychedelic yang dimainkan oleh Pink Floyd). Para pelajar seharusnya lebih meneroka dan bereksperimen dengan gaya atau genre yang baru agar penciptaan lebih segar dan berwibawa.
4. Belajar memahami peraturan-peraturan tertentu dalam penciptaan.
Jangan fikir bahawa tema lagu yang baik bermakna bahawa anda sudah berada di landasan yang betul. Benar bahawa penciptaan lagu tidak menetapkan sebarang peraturan tertentu, tetapi remaja perlu mencuba mencari cara untuk memperbaiki dengan mempelajari seberapa banyak bahan yang mampu membantu menjadikan seseorang pencipta lagu yang mantap dan berkemahiran tinggi. Jangan sekali-kali lupa bahawa melodi “catchy” dan pengiramaan bijak lirik-lirik perlu kepada latihan yang berterusan.
5. Jangan malu
Para remaja perlu bijak mempromosi kemahiran mencipta lagu kepada masyarakat dan dunia. Bermula dengan rakan taulan terdekat, hebahkan kemahiran mencipta lagu kepada mereka yang lain agar diketahui ramai. Kemudian dapatkan kritikan secara professional agar lagu-lagu ciptaan dapat dilaras dan diacu agar menjadi ciptaan yang bermutu dan digemari ramai. Sentiasa ingat bahawa lagu ciptaan adalah untuk pendengaran ramai, maka suara khalayak adalah penting untuk maklum balas.


6. Belajar bermain alat muzik penciptaan lagu
Kebanyakan pencipta lagu mahir bermain alat muzik yang digunakan dengan berkesan dalam penciptaan lagu. Sesetengah alat muzik tidak banyak membantu dalam penciptaan lagu. Kibod adalah alat yang paling digemari dan sangat berkesan dalam penciptaan lagu manakala gitar berada di tempat kedua. Ini adalah kerana kedua-dua alat tersebut mempunyai kepelbagaian kord yang amat membantu membina kerangka lagu ciptaan yang juga dinamakan turutan kord-kord (chords progression). Tidak perlu untuk menjadi seorang Joe Satriani di gitar atau Yanni di piano. Yang diperlukan hanyalah kefahaman tentang turutan kord-kord dalam sesuatu kerangka ciptaan. Gunakan hearandplay 300pg.course for keyboard(piano) dan Amazing 7 day Guitar video for guitar. Kedua-dua program akan memungkinkan anda bermain kedua-dua instrumen muzik dalam masa yang singkat
7. Lihat kembali ciptaan lepas.
Adalah amat berguna jika ciptaan lepas didengar kembali agar dapat dirumuskan sejauh mana keberkesanannya Ini adalah untuk menentukan agar lagu-lagu yang dihasilkan berada di landasan yang betul.
8. Perkenalkan kepelbagaian dalam penciptaan
Pencipta novis perlu menulis dalam skel, masa, genre dan stail yang berlainan. Perlu juga mereka menulis untuk intrumen-instrumen yang berlainan. Sebagai contoh, setelah menulis lagu untuk sebuah kumpulan rock, tulis ia semula untuk kuartet bertali. Pernah seorang pencipta lagu menulis sebuah instrumental untuk sebuah kumpulan rock dan selepas itu menyusun semula muzik tersebut untuk 4 biola. Pengalaman tersebut memberikan seseorang bunyi dan pengalaman teori muzik yang baru yang berkemungkinan menjadikan lagu ciptaan lebih merdu dan mantap.


9. Hasilkan demo
Jika ada kesungguhan untuk menjadikan ciptaan sebagai sesuatu untuk dipasarkan, para pelajar digalakkan melakukan promosi jualan. Sebagai permulaan sebuah mikrofon yang baik dan software komputer yang berkesan adalah mencukupi untuk tujuan tersebut. Berkemungkinan ia menepati selera penerbit album yang amat menyukai lagu-lagu tersebut.
10. Mencari Kolaborasi
Kolaborasi penciptaan lagu adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pengiat penciptaan lagu kerana tiada sesiapapun boleh bekerja berseorangan dan sentiasa berjaya. Bekerjasama dengan kumpulan penulis lagu di internet atau di sekitar komuniti tempatan. Koloborasi penciptaan adalah hebat kerana dua individu daripada komuniti berlainan bekerjasama dengan idea yang berbeza pastinya membuahkan hasil yang lebih universal dan mampu diterima oleh sebahagian besar peminat. Kerjasama kumpulan merupakan kunci kepada kejayaan dan telah dibuktikan oleh kumpulan-kumpulan penyelidik, kumpulan-kumpulan muzik dan parti-parti politik.
Beberapa Perkara Mengenai Komponen Lagu dan Struktur
Komponen-komponen Lagu
Lagu adalah terdiri daripada perkataan-perkataan dan muzik dan untuk sesebuah lagu berjaya ianya mestilah mempunyai lirik dan muzik yang hebat. Sesebuah lagu yang menarik adalah gabungan perkataan-perkataan yang menarik dan mudah yang menerangkan sesuatu topik. Lirik tidak tertakluk kepada sebarang peraturan kerana ia berdasarkan kepada amalan penulisan yang berterusan. Mungkin lirik-lirik tertentu mempunyai rima (rhyme) yang menarik tetapi tidak semuanya begitu.
Sesebuah lagu yang menarik tidak semestinya canggih. Lagu yang hebat adalah mudah, mempunyai melodi yang catchy dan susunan kod yang teratur. Melodi catchy dan perkataan-perkataan yang menarik mesti disatukan supaya kedua-duanya menjadi struktur lagu yang konkrit.
Struktur lagu
Sesebuah lagu selalunya mempunyai 3 melodi pendek, yang mana 2 diulangi berkali-kali. Korus adalah kombinasi lirik dan muzik yang diulangi tanpa atau dengan perubahan kecil sepanjang lagu. Selalunya lirik korus mengandungi tajuk lagu dan memberikan pendengar idea umum tentang topik lagu. Muzik korus mengandungi melodi yang paling catchy di dalam lagu tersebut. Secara umum korus adalah bahagian yang paling diingati oleh pendengar.
Rangkap pula adalah melodi kedua sesebuah lagu dan ianya sukar berubah sepanjang lagu. Apa yang berubah hanyalah rangkap-rangkap lirik kerana mengandungi penerangan mengenai topik lagu. Melodi lagu berupaya memuatkan rangkap-rangkap lirik lagu.
Melodi yang ketiga dinamakan bridge yang hanya muncul sekali sahaja di kebanyakan lagu. Ianya adalah untuk memberikan elemen kejutan kepada pendengar. Selalunya pencipta lagu akan mengubah struktur kod dan diikuti oleh pertukaran kepada skel yang lain. Bagaimanapun melodi bridge akan bertukar kembali kepada melodi rangkap dan kembali kepada mood yang sebenar yang diikuti pula dengan pengulangan korus semula. Lirik di bridge adalah mewakili penutup atau imbas kembali keseluruhan lagu untuk memberikan kejutan kepada pendengar. Kadang-kadang di kebanyakan lagu rock bridge adalah hanya permainan solo tanpa lirik.
Bagaimanakah ketiga-tiga bahagian ini di susun di dalam lagu? Kebiasaanya lagu mempunyai korus, rangkap dan bridge. Pencipta lagu boleh menyusun ketiga-tiganya mengikut selera tetapi jangan sampai menyemakkan pendengar kerana ketidak sesuaian susunan bakal membuatkan pendengar tersesat dalam mengerti makna sebenar sesebuah lagi. Berikut adalah contoh beberapa susunan lagu:

rangkap/ korus/ rangkap/ korus/ rangkap … dll
rangkap/ korus/ rangkap/ korus/ bridge/ (rangkap)/ korus
rangkap/ rangkap/ bridge/ rangkap

Untuk struktur rangkap/ rangkap/ bridge/ rangkap, sedikit pengubah suaian dilakukan agar rangkap yang kedua lebih catchy dan panjang daripada biasa. Indahkan ia setiap kali pengulangan berlaku dengan masukkan sesuatu yang baru seperti instrumen latar atau suara latar. Kelainan berlaku di sini kerana terkandung pengulangan dan pengubah suaian.
Topik lirik dan tajuk
Apakah lirik?
Paling mustahak, lirik bukanlah sajak. Sajak mengandungi peraturan-peraturan perkataan. Ianya adalah permainan bahasa tanpa apa-apa hubungan dengan muzik. Sebaliknya lirik mempunyai hubungan kuat dengan muzik dan adalah amat penting bagi sesebuah lirik dan muzik agar padan dan kemas daripada hanya mempamerkan perlambangan menakjubkan berserta kombinasi-kombinasi perkatan yang glamour. Amatlah penting bagi sesebuah lagu mempunyai lirik yang bercerita berkenaan topik yang menarik.
Topik lirik
Jikalau anda mempunyai sesuatu topik yang menarik, anda telah melakukan separuh daripada kerja melirik. Sekarang anda mempunyai sesuatu untuk untuk digambarkan. Ramai yang mula merasai sesuatu masih mempunyai kesukaran untuk menggambarkannya di dalam sesebuah karya.
Mulakan dengan teknik sumbangsaran. Lihat di sekeliling anda. Apakah yang anda lihat? Kemungkinan anda melihat sebuah komputer, skrin, meja dan pelbagai alat. Pilih salah satu daripada yang tersebut, mungkin anda akan memilih sebuah komputer. Apakah itu komputer? Kecilkan fokus topik anda. Sesebuah komputer terdiri daripada beberapa alat pemprosesan, papan kekunci, internet dan program-program komputer. Sekarang pilih internet dan cuba fokuskan skop tersebut. Anda akan mendapati laman-laman web, bilik-bilik sembang dan lain-lain. Lakukan lagi pemfokusan topik dan berkemungkinan anda akan sampai kepada topik berfokus kepada “Dua manusia yang bersendirian di bilik sembang”, iaitu sebuah fokus yang menggambarkan kesedihan. Masukkan diri anda ke dalam suasana kesedihan dan mulai menulis gambaran kesedihan tersebut dalam bentuk penceritaan mudah tetapi berkesan. Lebih mantap jika anda menulis kesedihan yang dialami sendiri kerana ianya memberikan impak berkesan kepada pendengar.
Tajuk lirik
Mulai berkarya dengan mencari satu tajuk lirik yang berkesan. Tajuk tersebut mestilah sesuatu yang mampu memberikan kejutan kepada pendengar tetapi sangat dekat dengan mereka. Contoh yang terdekat adalah “Raikan Cinta” oleh M. Nasir (2004) yang mana pencipta mampu mendatangkan sesuatu yang segar dan matang di dalam lagu bertemakan cinta, tidak sebagaimana yang diolah oleh pencipta-pencipta lagu lain yang hanya berjaya menggambarkan cinta kelas kedua bersifat murahan. Juga dinasihatkan anda tidak menggunakan perkataan-perkataan besar dan perlambangan-perlambangan yang sukar. Harus diingat bahawa lirik adalah sebahagian daripada lagu dan jika lirik sukar difahami maka pendengar memerlukan masa yang panjang untuk memahami muzik yang ingin disampaikan
Penutup
Nilai kemanusiaan semakin terpinggir di dalam masyarakat. Mereka hanya memandang ketinggian ilmu melalui keupayaan pelajar memperolehi sebanyak mungkin A. Kecemerlangan hanya didasarkan kepada pencapaian akademik yang berterusan. Sayugia diingatkan bahawa teori kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner memperincikan intelek dalam pelbagai genre. Kecerdasan muzikal dan bahasa adalah antara yang diangkat menjadi sebahagian daripada elemen-elemen kecerdikan yang mampu menyinari dunia. P.Ramlee dan John Lennon adalah dua personaliti unggul yang tidak dilahirkan oleh institusi akademik. Mereka melalui pelbagai proses cuba jaya dan pengkajian kendiri sebelum berjaya menempatkan diri sebagai yang terbaik di dalam dunia seni. Saya membentangkan kaedah dan cadangan bagaimana pelajar awal remaja mampu menuju ke destinasi tersebut. Cadangan dan kaedah yang cuba saya kongsi di kertas seminar ini mungkin menjadi pemangkin kepada gagasan yang lebih besar yang mana kita sebagai pendidik guru berhasrat melahirkan sebanyak mungkin pencipta-pencipta lagu yang tidak hanya berjaya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa. Bukan sahaja mereka dikenali kerana lagu-lagu yang bermutu tetapi juga kerana kemantapan bahasa yang mampu merangsang pemikiran global.

Rujukan
Carl E. Seashore(1988). Psychology Of Music. New York. Dover Publication Inc.
Edward S. Lisk(1996). The Creative Director:Intangibles Of Musical Performance. U.S.A. Meredith Music Publications.
Harold F. Abeles, Charles R. Hoffer, Robert H. Klotman(1994).Foundation Of Music Education Second Edition.New York.Maxwell Macmillan Canada,Inc.
Johami Abdullah(1993). Pendidikan Muzik Semasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Richard W. Harpster(1982).Technique In Singing A program For Singers and Teachers.New York. Schirmer Books.
http://www.craftofsongwriting.com/Column1.htm
http://www.songwritingfever.com
http://www.socan.ca/jsp/en/news-events/feature-stories/PattersonLisa.jsp

Monday, December 27, 2010

NI NAK START BALIK BLOG NI - DAH LAMA TINGGAI DAH..SORI TAGEM!!

26-28 DISEMBER 2010
Hari ni saya mesyuarat di Hotel Emerald Puteri Sungai Petani, MESYUARAT PERLAKSANAAN KAJIAN TINDAKAN PISMP SEMESTER 7, JABATAN SAINS SOSIAL 2O11.
InsyaAllah kalau sempat saya buat, saya akan upload bahan-bahan meeting ni dalam blog ni..
Budak2 Muzik B wajib tgk...ADA PAHAM???

Wednesday, February 24, 2010

BAHAN AMALI VOKAL PISMP SEM 5 JAN-JUN 2010 (SOLO)

SHANGHAI BEACH

Long ban long lau
maan lei tou tou gong seoi wing bat jau
Tou zeon liu sai gaan si
wan zok tou tou jat pin ciu lau
Si hei si sau long lei fan bat cing fun siu bei jau
Seng gung sat baai long lei hon bat ceot jan mei jau
Moi nei han nei man gwan zi fau
Ci daai gong jat faat bat sau
Zyun cin waan zyun cin taan
Jik mei peng fuk ci zung zaang dau
Jau jau hei jau jau sau
Zau syun fan bat ceng fun siu bei jau
Jing jyun faan baak cin long
Zoi ngo sam zung hei fuk gau

NAK DARA RINDU

Di Waktu Malam Bulan Mengambang
Sunyi Damai Damai Sekeliling Ku
Terdengar Nan Sayu Bintang Seribu
Membujuk Rayu Kerna Merindu
Lagu Yang Dulu

Di Waktu Malam Bulan Purnama
Angin Laut Meniup Niup Tenang
Mengatakan Sayang Berlagu Merdu
Bermadah Ayu Lemah Mendayu
Nak Dara Rindu

Tanjung Katung Airnya Biru
Tempat Mandi Nak Dara Jelita
Sama Sekampung Sedangkan Dirindu
Ini Kan Lagi Hai Jauh Di Mata

Tanjung Katung Airnya Biru
Tempat Mandi Nak Dara Jelita
Sama Sekampung Hai Sedang Dirindu
Ini Kan Lagi Hai Jauh Di Mata